Melayu perlu bangkit kuasai ekonomi- Raja Muda Perlis
ARAU 29 Jun - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru orang Melayu agar bangkit mengangkat kembali tamadun kaum itu sehingga mampu menguasai ekonomi.
Baginda bertitah, orang Melayu dahulu kala membuktikan kejayaan tamadun mereka ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila berjaya menguasai pusat perdagangan rantau nusantara.
''Orang Melayu pada zaman itu ada yang berdagang sehingga ke China dan Arab. Tetapi semuanya musnah apabila kita dijajah.
''Bagi saya, orang Melayu juga boleh kembali berjaya sekiranya diberi peluang dan bersedia dengan ilmu keusahawanan. Program-program keusahawanan perlu dijadikan sebahagian platform permulaan yang baik bagi menuju ke arah itu," ujarnya.
Baginda bertitah demikian ketika menutup Konvensyen Program Usahawan Muda (PUM) Kebangsaan ke-13 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ulu Pauh di sini malam tadi.
Turut berangkat pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, orang Melayu dan bumiputera perlu membuktikan mereka tidak hanya bergantung dengan kerajaan.
''Mereka perlu menolak tohmahan tersebut dan bangkit membina tamadun sendiri terutama dalam bidang perniagaan,'' titah baginda.
Baginda seterusnya bertitah, dalam keadaan ekonomi sekarang usahawan Melayu dan bumiputera perlu kuat terutama untuk berdepan cabaran globalisasi agar tidak terus ketinggalan.
''Dalam hal ini kegiatan perniagaan tidak seharusnya tertumpu di dalam negara sahaja tetapi perlu dikembangkan ke negara lain.
"Kepada PUM, saya mencadangkan dalam keghairahan mendidik anak muda berniaga, jangan lupa menekankan perniagaan yang berkat. Ia akan menjadi lebih efektif jika etika perniagaan dalam Islam diberikan keutamaan," titah baginda.
Konvensyen selama empat hari yang dianjurkan oleh Institut Keusahawan Negara (Insken) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) itu disertai kira-kira 600 pelajar sekolah menengah seluruh negara.
Sehingga kini, program perintis usahawan dilaksanakan di 218 sekolah rendah seluruh negara.
PUM dilaksanakan di 658 sekolah menengah dan program keusahawanan siswa dilaksanakan di 24 institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
No comments:
Post a Comment